Thursday, October 8, 2009

ukiran perak dan emas



Pengenalan

Pengenalan Di Semenanjung Malaysia penggunaan bahan logam dalam keperluan hidup manusia telah bermula sejak zaman purba lagi. Kepandaian menggunakan bahan logam di zaman purba adalah sesuatu yang sangat menarik kerana logam adalah bahan yang tidak boleh dipecah-pecahkan untuk menghasilkan sesuatu alat seperti alat-alat yang diperbuat daripada batu. Penggunaan alat-alat daripada logam yang berukir berterusan hingga kini. Orang-orang Melayu juga banyak sekali menghasilkan beraneka jenis alat yang diperbuat daripada logam. Seni ukiran pada alat-alat logam yang dihasilkan oleh tukang-tukang Melayu dapat kita lihat pada senjata-senjata tradisional, peralatan rumah, perhiasan diri serta barangan-barangan lain. Maklumat berkaitan seni ukiran logam daripada perak dan tembaga akan dipaparkan menerusi bidang ini.

Ukiran Perak

Seni pertukangan perak merupakan salah satu daripada cabang kesenian orang Melayu yang amat terkenal di Negeri Kelantan. Kesenian perak ini dikatakan adalah agak baru jika dibandingkan dengan kesenian-kesenian ukiran yang lain. Kemahiran bertukang orang Melayu dipercayai memang sudah ada sejak zaman berzaman lagi, iaitu hasil pengaruh tamadun 'Hindu' yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti tembaga dan emas. Dengan ini, perusahaan barang-barang perak ada kaitan rapat dengan bidang perusahaan emas dan tembaga kerana terdapat persamaan dari segi pembuatannya. Dari segi sejarah umumnya, didapati manusia mula menggunakan wang perak pada zaman 800 SM dan sejarah ukiran perak di Kepulauan Melayu pula muncul sejak dari zaman Sri Vijaya lagi dan terus berkembang hingga ke daerah-daerah lain di nusantara. Ukiran perak seterusnya telah berkembang ke tahap industri kampung atau cottage industry apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu pada abad ke 18 dan memajukan perusahaan ini.

Reka corak & Motif

Masyarakat yang mengenali seni pertukangan perak akan mengakui bahawa seni ukiran perak mempunyai keindahannya yang tersendiri. Keindahan yang dimaksudkan bukan pada seni rupa atau rekabentuk sesuatu ciptaan itu sahaja, malahan juga pada pengolahan satu-satu motif dalam rekacorak awan larat dan falsafah yang terselindung di sebaliknya mengikut daya imaginasi jiwa pencipta awan larat. Rekacorak dalam pertukangan perak merupakan ciri terpenting yang dikira dapat membezakan di antara rekacorak Melayu tradisi dengan rekacorak masyarakat lain di samping dapat menghuraikan segala aspek yang tertentu terhadap sejarah dan perkembangannya.




Mengukir logam emas


Untuk barang kasar, pertama, tukang perak membuat pasolan iaitu rangka barang itu dengan ukuran seperti yang dikehendaki. Pasolan dibuat daripada zink nipis atau kertas tebal. Kemudian, perak leper daripada acuan diketuk di atas andas kayu yang rata, berlubang atau berbonggol. Seringkali dua atau tiga kayu andas diperlukan untuk mendapatkan sesuatu bentuk yang direka. Barang kasar jarang yang dapat dibentuk daripada cuma sekeping perak, biasanya beberapa bahagian diperlukan. Bahagian-bahagian itu dibentuk secara berasingan dan kemudian dicantum dengan pateri. Sebelum dipateri, bahagian-bahagian itu dibersihkan daripada kotoran, terutama minyak yang boleh menjejaskan cantuman. Untuk barang perhiasan halus, tukang lebih sebabg bekerja dengan perak dawai. Penggunaan dawai juga mengurangkan kemungkinan pembaziran kerana perak logam yang mahal.

Barang kasar yang telah siap dibentuk, dikemaskan dengan corak hiasan dengan menggunakan 'teknik pahat' atau 'teknik tebuk' (gergaji). Kemudian barang itu dicuci dengan besi penggosok, dikikir dengan kikir halus dan dipelas dengan kertas pasir.





Proses yang terakhir ialah proses menggilap. Barang-barang perak digilap dengan menggunakan air sabun dan berus dawai tembaga halus untuk menghapuskan kekotoran yang berminyak dan seterusnya menyerikan barang itu. Banyak barang kraftangan perak dihasilkan atas tempahan khusus.

Penggunaan

Jika dahulu, golongan bangsawan dan pembesar negeri yang banyak membuat tempahan, sekarang tempat mereka telah diambil alih oleh usahawan di sektor pelancongan, terutama pengusaha perhotelan. Dengan perubahan gaya hidup masyarakat, selera pengguna juga berubah. Kini kraftangan perak telah dipelbagaikan kegunaannya. Banyak yang dijadikan cenderamata tetapi tidak kurang juga yang mempunyai kegunaan walaupun berbentuk perhiasan. Contohnya, penyangkut kelambu, cangkir, pinggan peranggu, kaki lilin, bekas abu rokok dan juga perhiasan diri seperti gelang dan rantai.

No comments:

Post a Comment