Thursday, September 3, 2009

Kepentingan Pendidikan Seni

Pendidikan berkait rapat dengan kreativiti dan pemikiran kreatif. Pendidikan Seni dalam Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud seni tampak yang bertujuan melahirkan warganegara berbudaya, khususnya individu yang kreatif, berpengetahuan dalam bidang seni, mempunyai kemahiran mencipta dan peka terhadap ciri estetik.


Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pelajar yang mengikuti program Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan kualiti berfikir . Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional dan fleksibel.


Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan dengan Pendidikan Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Kefahaman menerusi visual tentunya lebih mudah daripada penghafalan fakta menerusi catatan berjela. Peta minda yang digrafikkan secara mudah lebih berkesan untuk menyatakan sesuatu konsep atau penerangan yang sukar. Prinsip dalam Pendidikan Seni berupaya memenuhi tuntutan dalam masalah ini.


Pendidikan Seni juga selari dengan konsep pembelajaran seumur hidup (learning throughout life) yang dikatakan sebagai salah satu syarat untuk menghadapi dunia abad ke-21. Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang mengaplikasikan ilmu dengan kemahiran. Pelajar belajar melalui tindakan membuat (learning by doing), yang kemudiannya kelak dapat dilanjutkan kepada learning to be dan learning to live together, apabila tiba masanya untuk berada dalam masyarakat dan pasaran kerja. Asas ini dibina dalam pengajaran Pendidikan Seni terutamanya dalam membentuk pemikiran tinggi. Sebagai contoh awal, proses mereka bentuk dalam Pendidikan Seni, melibatkan pelajar melalui beberapa proses berfikir dan bertindak seperti : Pengenalpastian masalah

Menentukan keperluan, lakaran situasi atau masalah. Penjelasan tentang perkara utama dan limitasi serta persolan yang sepatutnya dapat dijelaskan. Kajian dan Penyelidikan Aspek persekitaran, ergonomik, masa, faktor keselamatan, kekuatan, bentuk, bahan, kos dan pembuatan serta pelbagai sumber. Idea dan cara penyelesaian – dilakukan secara lakaran beberapa idea dan penyelesaiannya. Perkembangan – memperincikan idea bersama lakaran dan huraian. Bekerja dengan idea yang telah dikenal pasti bagaimana bahagian-bahagian dipasang (kalau ia model). Mungkin carta aktiviti atau carta produksi diperlukan pada peringkat ini. Foto atau lakaran visual yang menampakkan pelbagai persepsi juga boleh membayangkan kegiatan seterusnya menjadi lebih jelas.Proses membuat.Proses dan teknik.Percubaan dan Penilaian Membandingkan spesifikasi asal dengan senarai fungsi. Mencatat sebarang masalah yang timbul sepanjang kegiatan. Mencuba. Membuat rumusan.


Apabila melihat proses mereka bentuk yang disenaraikan, nyatalah bahawa Pendidikan Seni mementingkan aplikasi ilmu dengan kemahiran. Dalam proses tersebut juga, inovasi teknologi yang merangkumi tiga tahap digabungkan. Gabungan tersebut ialah idea yang kreatif, aplikasi secara praktikal dan penerimaannya terhadap masyarakat. Ini dikaitkan dengan maksud kreatif yang menekankan sesuatu yang unik, baru dan bermakna, dalam konteks norma kita sendiri.


Melalui informasi teknologi dalam Pendidikan Seni, idea yang banyak dapat dilahirkan dan pelbagai. Ini akan membantu pelajar menghasilkan ciptaan terbaru dengan mudah, tepat, cepat, dan menarik. Namun, sebagai suatu disiplin yang mengutamakan daya imaginasi dan kreativiti ketika pembentukan konsep dalam minda, yang harus dijelmakan dalam bentuk visual secara manual, pelajar tidaklah diketepikan ilmu untuk mendapatkan kemahiran tertentu dan sebaliknya hanya menggunakan teknologi moden seperti komputer melakukan segala-galanya. Komputer, dalam hal ini adalah sebagai tool atau kadang-kadang sebagai tutee bagi memudahkan cara melaksanakan kegiatan Pendidikan Seni. Banyak pakar yang berpendapat bahawa pendidikan yang berkesan sepatutnya dilakukan secara bersepadu, sama ada dengan memenuhi tuntutan pelajar melalui ikutan, analisis logik, kemahiran mengaplikasi ilmu seni, dan sebagainya.


Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mengarah kepada suasana riang dan ria serta mengundang minat pelajar akan membangkitkan semangat ingin melakukan sebarang kegiatan pembelajaran dengan baik. Penyelesaian masalah merupakan satu kaedah yang berkesan dalam Pendidikan Seni kerana ia bukan sahaja melibatkan tingkah laku ingin tahu pelajar tetapi juga berkait dengan perasaan pelajar yang menjurus kepada Learning is fun.


Konsep pengajaran bersepadu dalam Pendidikan Seni telah diperjelaskan dalam Sukatan Pelajaran yang dapat disimpulkan bahawa ia merangkumi domain yang dihasrat secara bersepadu melalui pendekatan yang terancang. Pendekatan yang terancang dan terarah ini berteraskan objektif pencapaian iaitu, ekspresi kreatif, penggubahan, penghasilan dan persembahan, persepsi estetik, pertimbangan estetik, warisan budaya kraf, dan seni tampak. Justeru, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang terkandung hasrat murni di dalamnya dapat direalisasikan melalui subjek Pendidikan Seni.


( Dipetik daripada Seminar Pendidikan Seni oleh Encik Mat Desa bin Mat Radzi, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan

Art Timeline

Apa Itu Inovasi?

Kebanyakan kamus memberi makna inovasi sebagai pembaharuan atau perubahan. Pengertian ini di anggap agak longgar dan tidak begitu jelas.

Menurut Ronger E. Miller (1971) inovasi merupakan idea, amalan atau objek yang di anggap baru oleh seseorang.

Spencer (1994) menjelaskan inovasi ialah sesuatu yang di anggap baru dan lebih baik daripada yang lama oleh seseorang individu.

Glosari Teknologi Pendidikan (1995) pula merujuk inovasi sebagai idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkatkan sesuatu amalan.

ACEID (1977) pula menyatakan bahawa inovasi ialah an effort to introduce a practice in order to bring about a social change. The practice need not be totally new, its efficiency and potentially in a new context are the main criteria used in labelling it as innovation. The emphasis is on change in terms of providing a strategy to deal with a specific local or national problem.

Sufean Hussin (2001) dalam kertas kerjanya pada Seminar Dasar dan Pengurusan Pendidikan menyatakan inovasi bermaksud pembaharuan, modifikasi, atau membaiki idea, benda, ilmu dan ciptaan seni budaya tamadun dengan tujuan memenuhi fungsi-fungsi tertentu atau memenuhi cita rasa tertentu atau memenuhi pasaran tertentu.

Zaltman et. al (1973) menyatakan inovasi ialah idea, latihan atau bahan artifak yang kelihatan baru pada unit yang menggunakannya.

Oldham dan Cuming (1996) pula menyatakan inovasi ialah kejayaan aplikasi pertama pada sesuatu produk atau proses.

Damapour (1991) menyatakan inovasi sebagai mengenerasi perkembangan dan penggunaan idea baru pada organisasi.

Daripada pengertian di atas dapatlah disimpulkan bahawa secara mudah inovasi boleh diterangkan sebagai:-

• Merupakan penghasilan baru

• Berbentuk maujud dan mujarad

• Berdasarkan proses penyusunan semula

• Dengan menggunakan unsur yang sedia ada

• Terjelma sebagai unik, memudahkan dan bernilai

Apa Itu Kreativiti?

Berbagai-bagai makna dan pengertian telah diberikan terhadap erti kreativiti. Menurut Majaro (1992) kreativiti sebagai proses pemikiran yang mendorong dalam mengeneralisasikan idea baru.

Oldham dan Cumming (1196) menyatakakan kreativiti ialah original, berkaitan, produk yang bermanfaat atau prosedur menghasilkan idea baru.

Nystrom (1979) menyatakan kreativiti sebagai penemuan baru di mana ia menuju ke arah yang lebih realiti.

Mumford dan Gustafson (1998) menyebut kreativiti ialah penghasilan produk-produk dan dihargai oleh masyarakat.

Irving Taylor (1959) pula membuat analisis ke atas seratus definisi kreativiti dan mengklasifikasikannya kepada lima peringkat iaitu:-

1. Peringkat ekspresif
2. Peringkat produktif
3. Peringkat inventif
4. Peringkat inovatif
5. Peringkat emergentif